Penerbangan JT610 itu berlepas dari Jakarta menuju ke bandar Pangkal Pinang 10 hari lalu apabila ia terhempas ke dalam laut, mengakibatkan semua 189 penumpang dan krunya terbunuh.

“Pasukan penyelamat mengisi kira-kira 186 beg mayat dengan cebisan tubuh manusia yang ditemui selepas nahas dahsyat itu tetapi hanya 44 mangsa telah dikenal pasti setakat ini,” kata Ketua Badan Nasional Pertolo­ngan dan Pencarian (Basarnas), Muhammad Syaugi pada satu sidang akhbar.

“Anggota tentera, polis dan sukarelawan yang turut terlibat dalam pencarian itu akan diundurkan,” tambahnya.

Sementara itu, beratus-ratus orang yang berkabung di atas dua kapal Tentera Laut Indonesia menaburkan jambangan dan kelopak bunga ke dalam Laut Jawa, berhampiran lokasi pesawat baharu jenis Boeing 737 MAX 8 itu terhempas.

Pasukan penyelam berjaya menemui enjin, tayar dan pe­rakam data penerbangan yang merupakan satu daripada dua kotak hitam pesawat tersebut tetapi masih mencari perakam suara kokpit.

Laporan awal berhubung punca kemalangan itu pula dijangka diketahui hujung bulan ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Komite Nasional Ke­selamatan Transportasi Indonesia (KNKT) menyatakan kelmarin bahawa analisis pe­rakam data penerbangan mendedahkan penunjuk kelajuan udara JT610 rosak sepanjang empat jam penerbangan terakhirnya. – AFP