Berdasarkan semakan angka korban oleh agensi bomba kebangsaan, sekurang-kurangnya sembilan orang maut dan puluhan lagi hilang selepas gempa bermagnitud 6.4 menggegarkan bandar Hualien di timur Taiwan lewat Selasa lalu.

Gegaran kuat itu mengakibatkan beberapa bangunan rosak teruk dan jalan-jalan merekah, manakala ratusan penduduk terpaksa berlindung di sekolah dan stadium tempatan.

Tumpuan utama pasukan kecemasan masih di blok apartmen Yun Tsui di mana enam kematian berlaku dan puluhan mangsa masih hilang.

Beberapa tingkat paling bawah bangunan setinggi 12 tingkat yang turut menempatkan sebuah hotel itu musnah, menyebabkan struktur itu condong sebanyak 50 darjah dan mencetuskan kebimbangan ia akan runtuh.

Di sebalik semua risiko tersebut, anggota-anggota penyelamat terus memasuki bangunan itu dalam usaha mencari mangsa yang terselamat semalam sebelum mereka menemui dua mayat, masing-masing seorang pelancong dari tanah besar China dan pekerja hotel.

Seorang anggota kecemasan dikenali sebagai Lin berkata, pasukannya mengambil masa 14 jam untuk mengeluarkan mayat pekerja itu yang terperangkap di antara lantai dan siling hotel.

“Kami nampak rambutnya dan terpaksa menggali untuk satu tempoh,” katanya kepada agensi berita AFP.

Mayat lelaki itu kemudian dibawa keluar di dalam beg mayat berwarna putih.

Agensi bomba kebangsaan pula mengeluarkan angka korban terbaharu dengan mengesahkan sembilan terbunuh dalam gempa itu termasuk tiga dari tanah besar China.

Ketiga-tiga warga China itu dipercayai menetap di Hotel Beauty Stay yang terletak di tingkat dua blok apartmen tersebut.

Sekurang-kurangnya 58 orang masih hilang di seluruh bandar itu, kata agensi bomba kebangsaan lagi. Di blok apartmen itu pula, 33 orang masih hilang bersama 10 tetamu hotel.

Lebih 250 orang turut cedera dalam gempa itu, paling kuat pernah melanda Hualien dalam tempoh beberapa dekad. Hualien merupakan hab pelancongan popular di Taiwan. – AFP