Pemimpin pro-Beijing, Carrie Lam menerima tekanan hebat berhubung rang undang-undang kontroversi itu termasuk daripada sekutu politik dan penasihat sendiri.

“Kerajaan sudah memutuskan untuk menggantung penggubalan undang-undang, memulakan semula perbincangan kami dalam semua sektor masyarakat, melakukan lebih banyak kerja dan mendengar pelbagai pandangan masyarakat.

“Kami tidak berniat untuk menetapkan satu tarikh akhir berhubung perkara ini dan berjanji untuk melaporkan serta berunding dengan panel majlis perundangan mengenai isu keselamatan sebelum menentukan langkah seterusnya,” kata Lam kepada wartawan semalam.

Bandar hab kewangan antarabangsa itu digemparkan dengan kejadian keganasan politik pa­ling buruk sejak penyerahannya kepada China pada tahun 1997, dengan puluhan ribu penunjuk perasaan diusir menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah oleh polis antirusuhan.

Semasa bantahan meningkat, tanda-tanda menimbulkan keresahan dalam kalangan pemimpin Parti Komunis di Beijing, Lam mengadakan sidang akhbar semalam di kompleks kerajaan sama yang pernah dikepung beribu-ribu penunjuk perasaan awal minggu ini.

Akhbar The South China Morning Post melaporkan Lam mengadakan mesyuarat tergempar pada malam Jumaat bersama kumpulan penasihatnya, pada ketika pegawai-pegawai China bertemu di bandar raya Shenzhen untuk mencari jalan penyelesaian.

Penganjur protes tetap akan meneruskan satu bantahan berskala lebih besar hari ini. Protes baru-baru ini menyaksikan lebih satu juta orang membanjiri jalan-jalan raya membantah rang undang-undang berkenaan.

Lam dilantik oleh jawatankuasa yang setia kepada Beijing sebelum ini enggan membatalkan rang undang-undang itu walaupun menerima kritikan dan bantahan pelbagai pihak.

“Saya berasa sedih dan menyesal kerana terdapat kekurangan dalam kerja kami dan pelbagai faktor lain mencetuskan kontroversi serta perselisihan faham dalam masyarakat selepas tempoh dua tahun bertenang,” kata Lam. – AFP