Ketua Protokol Negara, Andri Hadi yang menema­ni dan rapat dengan Jokowi berkata, hampir semua ketua negara atau kerajaan yang bertemu dengan Presiden Jokowi mengucapkan tahniah kepadanya, memetik laporan portal Tribunnews.

“Tahniah, tahniah,” kata Andri sambil menyebutkan semula perkataan pertama oleh ketua-ketua negara atau kerajaan ketika bertemu Jokowi.

Menurut Andri, ucapan itu disampaikan kepada Jokowi pada pelbagai maj­lis bersempena Persida­ngan Kumpulan 20 (G20) di Osaka, Jepun, contoh­nya ketika menunggu acara menyambut ketibaan secara rasmi dan mengambil gambar keluarga.

Memetik Biro Istana Presiden, ketua negara atau kerajaan yang me­ngucapkan tahniah atas kemenangan semula ialah Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump; Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman.

Selain itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau; Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan; Perdana Menteri Australia, Scott Morrison; Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte; Presiden Pe­rancis, Emmanuel Macron; Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte; Perdana Menteri Britain, Theresa May; Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Presiden Sepanyol, Pedrosan Chez turut me­ngucapkan tahniah kepada Jokowi.

Mahkamah Perlembagaan Indonesia kelmarin menolak satu percubaan untuk membatalkan kemenangan Jokowi dan menyifatkan dakwaan penipuan undi meluas oleh Prabowo sebagai tidak berasas.

Mahkamah sama turut menolak kes yang difailkan Prabowo dan menyatakan bekas jeneral Indonesia itu gagal membuktikan kekalahan semasa pengundian pada April lalu adalah disebabkan penipuan meluas hingga mencetuskan bantahan yang mengakibatkan kejadian maut di Jakarta, ibu kota negara demokrasi ketiga terbesar dunia.

“Kes plaintif menurut undang-undang adalah tidak berasas,” kata Ketua Hakim, Anwar Usman. “Kami menolak semua tuntutan (Prabowo).”

“Terima kasih kepada Mahkamah Perlembagaan yang menyelesaikan pertikaian pilihan raya secara telus dan terbuka,” kata Jokowi dalam satu ucapan menerusi siaran televi­syen.

“Saya menyeru semua rakyat Indonesia bersatu untuk membangunkan negara kita.” – Agensi/AFP