Pejabat komander tentera Myanmar mengesahkan pada Rabu lalu bahawa pasukan keselamatan mengambil bahagian dalam pembunuhan ‘pengganas Bengali’ pada 2 September 2017 di Kampung Inn Din, Negeri Rakhine. Istilah biadab tersebut digunakan untuk merujuk kepada etnik Rohingya.

Ini kali pertama Myanmar mengaku melakukan pencabulan semasa operasi tentera menghapuskan pemberontak Rohingya dari hujung Ogos 2017 yang mencetuskan penghijrahan beramai-ramai etnik minoriti Islam itu.

Namun, pelarian Rohingya di Bangladesh menafikan kenyataan tentera Myan­mar dengan mereka yang terselamat selepas melarikan diri dari Inn Din berkata, mangsa yang dibunuh kejam itu ialah orang awam dan bukannya pemberontak.

Seorang penduduk Kampung Inn Din, Wal Marjan, 30, berkata, mereka diserang oleh penganut Buddha yang diiringi tentera. Kumpulan penyerang kemudian ‘memilih 10 hingga 15 lelaki bagi menyertai satu mesyuarat’.

Semua mangsa tidak pernah kembali, kata Wal yang kemudian diberitahu oleh seorang lelaki bahawa suaminya dan penduduk lain telah dibunuh.

“Katanya, mayat mangsa dicampak ke dalam kubur besar bersama lelaki lain,” kata Marjan kepada di sebuah kem pela­rian di tenggara Bangladesh.

Tambah wanita itu, suaminya tiada kaitan dengan pemberontak Rohingya.

Dalam satu kenyataannya, pejabat komander tentera berkata, pasukan keselamatan menangkap 10 militan Rohingya dan membunuh mereka ketika keganasan tercetus di kampung itu dan kawasan sekitarnya.

Kenyataan di Facebook itu turut memberikan pengesahan awal mengenai kubur besar Rohingya di Rakhine.

Namun, penduduk kampung Inn Din, Hossain Ahammad berkata, mangsa yang dibunuh sebenarnya nelayan, petani, pe­nebang pokok dan ulama.

“Mereka tidak terlibat dalam apa-apa pergerakan pemberontak,” katanya.

Pada bulan lalu, kumpulan amal, Doktor Tanpa Sempadan berkata, sekurang-kurangnya 6,700 etnik Rohingya dibunuh pada bulan pertama tentera Myanmar melancarkan tindakan keras terhadap pemberontak di Rakhine, Ogos tahun lalu. – AFP