Kem pelarian terbesar di dunia itu dikawal ketat pihak berkuasa Bangladesh, namun perarakan dan perhimpunan tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Kami warga Rohingya, kami mahu keadilan,” laung orang ramai di kem Kutupalong dengan satu kain rentang gergasi turut digantung dan tertulis perkataan ‘Cukup: Hari Memperingati Penghapusan Rohingya. 25 Ogos 2018’.

Di kawasan lain di sekitar kem berkenaan, beribu-ribu wanita dan kanak-kanak berarak di sebalik poster gergasi ‘Menangis 365 hari, sekarang saya marah’.

“Kami di sini untuk memperingati tarikh 25 Ogos, kamu mahu keadilan. Kami mahu Myanmar mengiktiraf kami sebagai Rohingya. Kami berasa amat sedih kerana tidak berada di ta­nah air sendiri,” kata seorang penunjuk perasaan, Mohammad Hossain, 40.

Rata-rata mereka tidak dapat menahan sebak semasa memperingati peristiwa tentera Myanmar melakukan pembunuhan kejam dan memperkosa wa­nita Rohingya sejak 25 Ogos tahun lalu.

Junta tentera mengambil tindakan keras selepas militan Rohingya melancarkan serangan ke atas pos pemeriksaan polis.

Kejadian itu menyebabkan 700,000 minoriti Islam Myanmar bergadai nyawa melarikan diri dengan menyeberangi sempadan.

Hampir 7,000 Rohingya terbunuh pada bulan pertama, menurut Doktor Tanpa Sempadan (MSF). – AFP