Perjanjian pada November lalu itu melibatkan penghantaran pulang pelarian Rohingya ke Negeri Rakhine di Myanmar dalam masa dua bulan.

Bagaimanapun, etnik minoriti Islam berkenaan amat sangsi dan enggan kembali kerana masih trauma dengan kekejaman di Rakhine.

“Mereka (tentera Myanmar) membuat perjanjian tetapi tidak akan mematuhinya.

“Apabila kami pulang, mereka akan menyeksa dan membunuh kami sekali lagi,” kata seorang pelarian Rohingya lelaki berumur 33 tahun, Mohammad Syed.

Ketakutan pelarian Rohingya adalah berasas. Sebuah pertubuhan amal, Doktor Tanpa Sempadan berkata kelmarin bahawa sekurang-kurangnya 6,700 etnik Rohingya dibunuh pada bulan pertama operasi tentera Myanmar di Rakhine yang bermula Ogos lepas.

Hampir 650,000 penduduk minoriti Islam itu melarikan diri dan berlindung di daerah Cox’s Bazar, tenggara Bangladesh sejak kempen ketenteraan dilancarkan di Rakhine.

Agensi hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengkategorikan kekejaman tentera Myanmar termasuk melakukan pembunuhan rambang, rogol beramai-ramai dan membakar ratusan perkampungan Rohingya.

“Perjanjian penghantaran pulang ini adalah satu perangkap. Mereka (tentera Myanmar) pernah memberi jaminan sebelum ini tetapi masih menjadikan hidup kami bagaikan di neraka.

“Saya memilih untuk tinggal di sini (kem pelarian). Kami boleh mendapatkan makanan dan perlindungan dan kami juga boleh mengerjakan solat dengan bebas,” kata seorang wanita Rohingya yang dikenali sebagai Dolu. – AFP