Agensi Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR) dan Program Makanan Dunia memberitahu AFP bahawa lelaki bernama Ryad Khalaf Zibou, 43, membakar dirinya di hadapan sebuah pejabat PBB di bandar Tripoli, utara Lebanon.

“Kejadian tragis ini menunjukkan tekanan dan kesukaran yang dialami kebanyakan pelarian yang terdedah melakukan tindakan terdesak.

“Kakitangan PBB yang melihat insiden itu memberikan bantuan awal dan membawa dia ke hospital. Lelaki itu dilaporkan parah tetapi dalam keadaan stabil,” kata agensi itu dalam satu kenyataan bersama.

Doktor Gabriel al-Saba memberitahu, Ryad Khalaf mengalami kesan melecur tahap tiga melibatkan kira-kira satu pertiga badannya dan memerlukan sekurang-kurangnya dua bulan rawatan.

Isteri Ryad Khalaf, Nadia memberitahu AFP bahawa keluarganya yang berasal dari bandar Aleppo yang dilanda perang berada dalam keadaan daif sejak bantuan PBB yang diterima mereka dipotong empat bulan lalu.

“Kami tidak mempunyai wang untuk makan, hutang semakin banyak. Suami saya tidak bekerja, dia menghabiskan banyak masanya mencari pekerjaan,” katanya.

PBB berhenti menyalurkan bantuan makanan dan kewangan kepada beberapa keluarga Syria sejak beberapa bulan lalu bagi menumpukan kepada keluarga yang lebih susah. – AFP