Andrei Zhestkov, 27, diberkas di lapangan terbang utama di bandar Denpasar malam kelmarin ketika melalui pemeriksaan keselamatan untuk menaiki penerbangan pulang ke Rusia.

Anggota-anggota imigresen yang berasa curiga menahan Zhestkov dan memeriksa bagasinya sebelum menemui orang utan jantan berusia dua tahun itu sedang tidur nyenyak dalam sebuah bakul rotan.

“Kami percaya orang utan ini diberikan ubat alahan yang menyebabkannya mengantuk. Kami menemui pil tersebut dalam bagasi sama,” kata pegawai agensi pemuliharaan Bali, I Ketut Catur Marbawa kepada agensi berita AFP semalam.

“Zhestkov kelihatan se­perti sudah melakukan persediaan awal,” ujarnya sambil menambah, lelaki itu membawa susu bayi dan selimut untuk mamalia tersebut.

Polis turut menemui tujuh ekor cicak termasuk lima cicak eksotik dalam bagasi pelancong Rusia itu.

Zhestkov memberitahu pihak berkuasa bahawa spesies dilindungi itu diberikan sebagai hadiah oleh seorang rakannya yang juga warga Rusia. Dia mendakwa, rakannya membeli orang utan tersebut pada harga AS$3,000 (RM12,000) di Pulau Jawa.

Warga Rusia itu berkata, rakannya yang telah meninggalkan Indonesia, membe­ritahunya bahawa orang utan itu boleh dibawa pulang untuk dijadikan haiwan peliharaan.

Zhestkov boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan didenda AS$7,000 (RM28,500) kerana menyeludup spesies dilindungi jika didapati bersalah, kata I Ketut.

Menurut Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa, orang utan dikategorikan spesies terancam dengan sekitar 100,000 ekor sahaja masih hidup di seluruh dunia. – AFP