Seorang pengembara beg galas yang menggelarkan dirinya sebagai Alex dirakam duduk di sebelah kotak derma di Pasar Samkong di Pulau Phuket yang tertulis: “Saya kehabisan wang simpanan... mohon derma untuk perjalanan.”

Menurut laman web Coconuts, beberapa laporan mengenai pengembara Barat mengemis pernah berlaku satu ketika dahulu, namun penduduk Thailand bermurah hati memberi sumbangan kerana menganggap mereka dalam keadaan terdesak.

Tahun lalu, seorang pengembara Barat dikenali sebagai Benjamin Holst berasal dari Flensburg, Jerman mengambil kesempatan mengemis wang daripada orang ramai dan berjaya mendapatkan beribu-ribu baht.

Holst yang digelar ‘pengemis kaki besar itu’ bagaimanapun mencetuskan kemarahan orang ramai selepas terbongkar dia menggunakan wang itu untuk berparti di Pattaya sekali gus menyebabkan dia disenarai hitam oleh imigresen Thailand.

Trend mengemis itu menyebabkan kemarahan dalam kalangan penduduk tempatan yang mengatakan pelancong mengambil wang daripada orang yang benar-benar memerlukan untuk bersuka ria. – Agensi