Di sebuah sekolah tinggi pemerintah, beberapa remaja berpakaian seragam berwarna kelabu menyapu serpihan kaca yang bertaburan di dalam kelas. Beberapa piala jatuh dari sebuah almari yang pecah, manakala gelanggang bola keranjang kelihatan retak.

“Kami sedih melihat keadaan sekolah yang sebegini,” kata seorang pelajar, Dewi Rahmawati, 17, yang berhasrat menyambung pengajian dalam bidang ekonomi selepas menamatkan persekolahan pada tahun hadapan.

Para pelajar diarahkan kembali ke sekolah selepas menerima arahan mengenainya menerusi aplikasi mesej WhatsApp dan laman sosial Facebook.

Pengetua sekolah itu, Kasiludin berkata, pihak berkuasa mengarahkan semua guru agar kembali ke sekolah bermula semalam bagi merekodkan maklumat jumlah pelajar.

“Kami tidak akan memaksa pelajar untuk kembali ke sekolah kerana masih ramai yang berada dalam keadaan trauma.

“Bagaimanapun, kami perlu memulakan sesi persekolahan dengan segera bagi memulihkan semula semangat para pelajar selain mengelakkan mereka daripada terus ketinggalan,” katanya.

Di sekolah menengah SMP Negeri 15 Palu, hanya 50 daripada 697 pelajarnya kembali ke sekolah.

Pengetua sekolah itu, Abdul Rashid berkata, beliau menerima berita bahawa empat pelajarnya terkorban dalam bencan gempa bumi.

“Sesi persekolahan masih belum bermula. Kami cuma mahu mengetahui berapa ramai pelajar yang terselamat.

“Saya masih menunggu arahan permulaan sesi persekolahan daripada Kementerian Pendidikan. Buat masa ini, saya menganggap kami masih belum bersedia. Ramai pelajar masih trauma dan berada dalam ketakutan,” katanya.

Seorang pelajar lelaki yang berbual dengan rakan-rakannya di perkarangan sekolah itu berkata, dia kecewa apabila hanya segelintir rakannya kembali ke sekolah.

“Saya tidak mendengar berita daripada kebanyakan rakan saya. Saya cuma positif, saya harap mereka selamat,” kata pelajar tersebut, Muhamad Islam Bintang Lima.

Gempa bumi kuat bermagnitud 7.8 yang melanda pada 28 September lalu itu meruntuhkan banyak kediaman dan bangunan di Palu, bandar yang terletak kira-kira 1,500 kilometer ke timur laut Jakarta, manakala ombak tsunami pula membadai pesisiran pantai.

Angka korban rasmi setakat ini ialah 1,763 orang tetapi masih banyak mayat belum ditemui. Tiada siapa yang mengetahui jumlah sebenar mangsa yang hilang terutamanya di kawasan di mana gempa bumi itu mengakibatkan tanah menjadi ‘cecair’. 
– Reuters