Peguam itu, Michael Cohen (gambar kecil) berkata, beliau tidak menerima bayaran balik untuk wang yang diberikan kepada aktres porno tersebut yang dikenali sebagai Stormy Daniels atau nama sebenarnya, Stephanie Clifford.

Cohen berkata kepada New York Times bahawa pembayaran tersebut sah di sisi undang-undang tanpa mendedahkan butiran lanjut termasuk me­ngapa wang itu diberikan.

“Organisasi Trump dan kempen Trump tidak terlibat dalam transaksi kepada Clifford dan ke­dua-duanya tidak membuat pembayaran balik kepada saya sama ada secara langsung ataupun tidak langsung,” katanya.

“Pembayaran kepada Clifford adalah sah di sisi undang-undang dan ia bukannya sumbangan atau perbelanjaan kempen yang dibia­yai sesiapa,” tambahnya kepada akhbar berkenan.

Media tempatan melaporkan bahawa wang itu dibayar sebulan sebelum pilihan raya umum AS pada November 2016.

Trump menjalin hubungan de­ngan Clifford, 38, selepas berkenalan dengan wanita itu dalam satu acara golf selebriti pada 2006.

Ketika itu, Trump telah berkahwin, manakala isterinya, Melania Trump baru melahirkan anak lelaki mereka empat bulan sebe­lumnya. – AFP