Laporan tersebut yang tidak mendedahkan nama-nama syarikat berkenaan adalah respons kepada resolusi UNHRC pada tahun 2016 yang meminta satu ‘pangkalan data untuk semua aktiviti perniagaan syarikat berkaitan penempatan Israel di wilayah Palestin’.

Duta Israel ke PBB, Danny Danon mengutuk sekeras-kerasnya laporan itu dengan menyatakan ia diterbitkan ‘pada hari PBB sedang menandakan Hari Peringatan Kemusnahan Antarabangsa’.

“Ini adalah satu tindakan memalukan yang akan mencemari UNHRC selama-lamanya,” kata beliau.

“Kami akan meneruskan usaha bersama sekutu kami dan menggunakan segala usaha untuk menghentikan penerbitan senarai hitam yang memalukan ini.”

Laporan yang diterbitkan Pejabat Suruhanjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR) menyatakan sebanyak 143 syarikat itu berpangkalan di Israel atau di kawasan pe­nempatan haram, 22 lagi di Amerika Syarikat, Jerman (7), Belanda (5) dan Perancis (4).

Hanya 64 buah syarikat dalam senarai itu sudah dihubungi setakat ini, menurut laporan sama.

“Sebaik sahaja OHCHR berhubung dengan kesemua 206 syarikat berkenaan, OHCHR dijangka membekalkan nama syarikat yang terlibat dalam senarai aktiviti masa hadapan,” menurut laporan itu.

Penempatan Israel dianggap sebagai haram di bawah undang-undang antarabangsa dan menjadi halangan kepada proses keamanan kerana dibina di atas tanah milik Palestin.

Lebih 600,000 warga Israel mendiami kawasan Tebing Barat dan wilayah Baitulmuqaddis Timur selain mencetuskan konfrontasi ke atas hampir tiga juta rakyat Palestin. – AFP