“Daripada apa yang saya lihat dan dengar, tiada akses kepada perkhidmatan kesihatan, jaminan keselamatan dan pengusiran juga berterusan. Keadaan ini tidak kondusif untuk kepulangan semula,” kata Timbalan Setiausaha Agung Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, Ursula Mueller selepas lawatan enam hari beliau ke Myanmar.

Kerajaan Myanmar berjanji melakukan segala upayanya untuk memastikan penghantaran pulang pelarian Rohingya di bawah perjanjian bersama Bangladesh pada November 2017 berlangsung adil, bermaruah dan selamat.

Myanmar setakat ini meluluskan beberapa ratus pelarian Rohingya untuk dihantar pulang. Mereka bakal menjadi kumpulan pelarian pertama dan boleh kembali ke Myanmar apabila dirasakan sesuai, kata seorang pegawai Myanmar bulan lalu.

Mueller diberikan akses luar biasa di Myanmar, membolehkan beliau melawat kawasan yang paling teruk terjejas di Negeri Rakhine dan menemui menteri pertahanan serta hal ehwal sempadan di samping pemimpin negara itu, Aung San Suu Kyi.

Penghijrahan keluar penduduk Islam Rohingya berlaku semasa tentera Myanmar melancarkan operasi menghapuskan pemberontak di Rakhine pada 25 Ogos 2017. Pelarian Rohingya melaporkan bahawa askar Myanmar melakukan pembunuhan, membakar harta benda dan merogol kaum wanitanya semasa operasi tersebut.

“Saya meminta (pegawai Myanmar) supaya menamatkan keganasan ini dan supaya kepulangan pelarian dari kem di Cox’s Bazar, Bangladesh berlaku secara suka rela serta bermaruah,” Mueller memberitahu agensi berita Reuters dalam satu wawancara di Yangon.

Myanmar dan Bangladesh bersetuju pada Januari lalu untuk menyelesaikan penghantaran pulang pelarian Rohingya dalam tempoh dua tahun.

Rakyat beragama Buddha di Myanmar menganggap etnik Rohingya pendatang tanpa izin dari Bangaldesh, manakala PBB menyifatkan operasi tentera di Rakhine merupakan penghapusan etnik. – Reuters