Dilancarkan pada Ahad, Pelan Tindak Balas Kemanusiaan Yaman 2018 adalah rayuan bantuan kemanusiaan terbesar bagi Yaman, yang dicengkam konflik tanpa henti selama dua tahun mengakibatkan tiga perempat penduduknya memerlukan bantuan kemanusiaan termasuk 11.3 juta berada dalam kedaifan dan amat memerlukan bantuan bagi meneruskan kehidupan. 

"Bantuan kemanusiaan bukanlah penyelesaian utama kepada nasib rakyat Yaman, tetapi itu satu-satunya cara untuk membantu serba sedikit jutaan penduduk meneruskan kehidupan.

"Hari ini, pertubuhan kemanusiaan merayu kepada komuniti antarabangsa untuk menyokong usaha mereka," kata penyelaras kemanusiaan di Yaman, Jamie McGoldrick dalam kenyataan media pada majlis pelancaran pelan tindakan itu. 

Paling teruk terjejas akibat krisis kemanusiaan ialah kanak-kanak. 

Menurut Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), hampir dua juta kanak-kanak tidak bersekolah,1.8 juta di bawah usia lima tahun kurang zat makanan, termasuk 400,000 lagi dalam keadaan amat teruk dan kebanyakannya boleh membawa kepada kematian jika tidak menerima rawatan perubatan.

Pelan tindakan itu akan mensasarkan mereka yang benar-benar dalam keadaan serius serta berisiko. - Bernama