Gesaan oleh peserta Persidangan PBB Mengenai Senjata Konvensional (CCW) itu juga mendesak supaya diwujudkan satu peraturan untuk dipatuhi oleh negara-negara di dunia.

PBB menganjurkan persidangan selama lima hari bagi membincangkan mengenai senjata tanpa kendalian manusia itu yang mampu mengenal pasti dan memusnahkan sasaran.

Pakar-pakar menyifatkan robot pembunuh tersebut akan diguna pakai dalam masa terdekat.

Aktivis pula memberi amaran bahawa masa semakin singkat untuk menyekat perlumbaan pengeluaran senjata seperti itu, manakala perbincangan di peringkat PBB tidak mendapat maklum balas daripada dunia.

“Hadirin sekalian, saya ada berita untuk anda, robot tidak akan dibenarkan mengambil alih dunia. Manusia akan tetap mengendalikannya,” kata duta pelucutan senjata India, Amandeep Gill yang mempengerusikan mesyuarat CCW.

“Saya fikir kita perlu berhati-hati dan tidak terlalu emosional dalam isu ini,” katanya kepada pemberita sebagai menjawab kritikan mengenai perjalanan mesyuarat itu yang terlalu perlahan.

Sebanyak 22 buah negara, kebanyakannya yang memiliki peruntukan kecil ketente­raan mendesak supaya senjata tersebut disekat.

Mereka berpendapat senjata automatik perlu diharamkan kerana hanya manusia yang boleh memutuskan untuk me­lancarkan serangan atau tidak. – AFP