Satu resolusi yang dikemukakan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) te­lah diterima dengan undian sebanyak 122-10 dengan 24 buah negara lagi mengambil pendirian berkecuali.

China, Rusia, Kemboja, Laos, Filipina serta Vietnam menyokong Myanmar mengundi bagi menentang cadangan tersebut bersama Belarus, Syria dan Zimbabwe.

Resolusi itu mendesak kerajaan Myanmar membenarkan kemasukan pekerja perubatan, memastikan kepulangan semua pelarian dan memberikan hak-hak kerakyatan penuh kepada etnik Rohingya.

Selain itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres diminta melantik seorang utusan khas PBB ke Myanmar.

Lebih daripada 650,000 etnik Muslim Rohingya meninggalkan Myanmar selepas operasi keras ketenteraan dilancarkan di negeri Rakhine hujung Ogos lalu.

Pada minggu lalu, pelapor khas PBB ke Myanmar, Yanghee Lee mendedahkan, dia diharamkan memasuki negara itu dan kerajaan langsung tidak memberi kerjasama kepadanya. – AFP