Resolusi tersebut akan mengecam Israel dan akan menyamai resolusi lain yang diundi veto oleh Amerika Syarikat (AS) dalam Maj­l­is Keselamatan pada minggu lalu, sekali gus menyeru untuk melin­dungi Palestin daripada pencerobohan Israel, menurut diplomat.

Sekurang-kurangnya 129 rakyat Palestin telah terbunuh akibat dibedil Israel sejak protes berlaku sepanjang sempadan Gaza pada 30 Mac lalu. Tidak ada sebarang korban dari Israel.

Resolusi yang diterima oleh Perhimpunan Agung tidak mempunyai nilai yang mengikat, tidak seperti yang diluluskan oleh Majlis Ke­selamatan.

“Kami akan mengusahakan pada minggu hadapan untuk mendapatkan jumlah undi maksimum,” ujar seorang diplomat dari sebuah negara yang menyokong langkah tersebut kepada AFP.

Negara-negara Arab beralih kepada Perhimpunan Agung pada Disember lalu selepas AS menggunakan kuasa veto untuk membatalkan undi Majlis Keselamatan terhadap resolusi yang mengutuk keputusan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis.

Sebanyak 14 anggota Majlis Keamanan menyokong resolusi pada Disember itu, walaupun AS dan empat anggota tetap dewan tetap mempertahankan hak untuk menggunakan kuasa veto.

Resolusi tersebut kemudian menerima 128 undi daripada 193 anggota dalam Perhimpunan Agung.

Sumber diplomatik berkata, mesyuarat tergempar itu telah didesak oleh Pertubuhan Negara Islam dan Liga Arab.

Sementara itu, dalam perkembangan terkini, empat lagi penduduk Palestin terbunuh selepas ditembak tentera Israel di sempadan Gaza kelmarin, selepas pertempuran maut dengan penunjuk perasaan terus berlanjutan. – AFP