Patung memaparkan kepala dan wajah firaun itu berukuran 28.5 sentimeter dan dilelong oleh firma lelongan Christie’s.

Bagaimanapun, sebarang maklumat pembeli antikuiti itu tidak didedahkan.

Arca wajah Firaun Tutankhamun itu datang daripada koleksi persendirian dikenali sebagai Koleksi Resandro yang menampilkan hasil seni purba. Koleksi itu dijual pada harga AS$3 juta (RM12.4 juta) oleh firma lelongan Christie’s dalam tahun 2016.

Bagaimanapun, pegawai-pegawai Mesir mahu penjualan tersebut dihentikan kelmarin dan khazanah itu dikembalikan kepada Kaherah.

Sementara itu, kira-kira 12 penunjuk perasaan mengibarkan bendera Mesir dan membawa sepanduk mengutuk perdagangan antikuiti seludup di luar firma lelongan Britain itu di kota raya London.

“Patung ini tidak wajar disimpan di rumah persendirian. Ia sepatutnya menjadi tatapan di Muzium,” kata rakyat Mesir, Magda Sakr kepada agensi berita AFP.

“Ini adalah sejarah. Ia adalah antara raja kami yang paling terkenal,” kata aktivis berusia 50 tahun itu.

Tutankhamun dipercayai ditabal sebagai firaun atau raja pada usia sembilan tahun dan meninggal dunia 10 tahun kemudian.

Pemerintahan Tutankhamun mungkin tidak diketahui oleh dunia tanpa penemuan makamnya. Warga Britain, Howard Carter menemui makam firaun itu dalam keadaan hampir sempurna pada tahun 1922. – AFP