George Coffin dan Irene Lanning dikatakan menyulam cinta hampir tiga tahun ketika mereka berusia 14 tahun selain menetap di kawasan berhampiran di Sutton Coldfield, Midlands Barat dekat sini.

Ketika itu, hubungan yang terputus di tengah jalan menyebabkan mereka membawa haluan masing-masing dan bertemu jodoh dengan pasangan lain.

Lanning yang memiliki empat cucu dikatakan pernah berkahwin sebanyak dua kali tetapi malangnya, kedua-dua suaminya meninggal dunia.

Sementara itu, usia perkahwinan Coffin bersama Sylvia pula yang mencecah 65 tahun juga tidak berkekalan apabila isteri kesayangannya menemui ajal beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, pasangan itu akhirnya bertemu semula selepas tujuh dekad terpisah ketika mereka menghadiri satu upacara pengebumian seorang rakan pada tahun lalu.

“Kami berdua sangat gembira apabila bertemu semula dan berhasrat untuk berkahwin memandangkan anak-anak turut menyokong keputusan kami untuk bersatu,” kata mereka. 
– Agensi