Warga emas yang tidak didedahkan identitinya itu dirawat selama tiga hari di Hospital Pusat Universiti Lisbon Tengah di sini.

Pesakit itu dibawa ke hospital berkenaan dua hari selepas menjalani rawatan alternatif kerana sukar untuk bernafas dan sakit pada bahunya.

Doktor-doktor mendapati sebahagian daripada paru-paru kanan wanita itu rosak dan menyalahkan penggunaan jarum akupunktur sebagai punca komplikasi berlaku.

Rawatan akupunktur yang berasal dari China adalah kaedah rawatan sampingan yang bertapak di Eropah sejak abad ke-17 lagi.

Rawatan tradisional itu digunakan untuk memulihkan aliran tenaga di dalam badan dikenali sebagai ‘Qi.’ Tenaga itu mengalir melalui 12 saluran dipanggil meridian di dalam anggota badan dan jika aliran tersebut terganggu, ia dikatakan boleh menyebabkan masalah kesihatan.

“Memasukkan jarum-jarum kecil dan memanipulasinya pada titik meridian akan dapat mengembalikan aliran tenaga dan melegakan kesakitan,” kata seorang pengamal akupunktur.

Rawatan itu dikatakan memberikan manfaat pada sistem saraf, peredaran darah, hormon dan otot.

Wanita itu dilaporkan mengalami penyakit darah tinggi dan osteoartikular yang mempengaruhi sendi, otot dan tulangnya.

Ia merupakan kali pertama wanita tersebut menjalani rawatan akupunktur bagi melegakan sakit belakangnya yang kronik.

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan Britain menasihati orang ramai di laman webnya, Choices bahawa rawatan akupunktur adalah selamat sekiranya dipraktikkan dengan tahap kebersihan tinggi oleh pengamal yang berkelayakan. – Agensi