Bagaimanapun, punca sebenar penyakit mereka masih misteri.

Jabatan kesihatan di negeri Illinois, Minnesota dan Wisconsin mengeluarkan kenyataan melibatkan kes tersebut dengan menyatakan, pesakit mengalami batuk, sesak nafas, pening dan kepenatan.

Simptom itu memaksa pesakit dirawat di hospital dengan tiub oksigen dimasukkan menerusi mulut bagi membantu mereka bernafas.

Tiga negeri berkenaan merekodkan sekurang-kurangnya 30 kes disahkan dan 22 kes yang masih disiasat. Bagaimanapun, pegawai-pegawai kesihatan itu berkata, masih awal untuk menyatakan sama ada penyakit itu berkait tetapi mereka saling bekerjasama dan berganding tenaga bersama Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) untuk melakukan siasatan lanjut.

Sesetengah pesakit berkenaan didapati menggunakan vape untuk menghisap produk marijuana.

Thomas Haupt yang merupakan ahli epidemiologi penyakit berkaitan pernafasan di Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Wisconsin memberitahu agensi berita AFP kelmarin: “Kami dalam proses menemu bual semua pesakit bagi mencari sebarang persamaan.

“Buat masa ini, menghisap vape merupakan satu-satunya persamaan pada mereka tetapi kami cuba meluaskan siasatan bagi memastikan kami tidak tertinggal fakta lain,” jelasnya.

Penemuan itu mengelirukan pakar-pakar ekoran kajian saintifik sehingga kini mendapati rokok elektronik (e-rokok) kurang toksik berbanding rokok konvensional.

Penggunaan e-rokok dalam kalangan remaja AS meningkat dengan mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kira-kira 3.6 juta pelajar sekolah menengah dan sekolah tinggi menggunakan produk vape pada tahun lalu, demikian menurut laporan CDC. – AFP