“Palestin masih lagi menunggu usaha komuniti antarabangsa menyelesaikan masalah rakyat negara ini yang dicipta oleh komuniti antarabangsa sendiri apabila me­nubuhkan Israel pada tahun 1948,” kata Riyad semasa persidangan Dialog MED di Rom.

“Malangnya, tiada siapa antara kamu mengambil serius, boleh dipercayai serta bertanggungjawab untuk mengambil langkah menyelesaikan masalah kami,” katanya kepada pemimpin Eropah dan Asia Barat yang berhimpun pada persidangan itu.

Riyad membidas pentadbiran Amerika Syarikat di bawah kepimpinan Presidennya, Donald Trump yang sangat menyebe­lahi Israel dengan mengambil kira sejarah pada pandangan yang tidak betul.

Rakyat Palestin telah berikrar menghalang rancangan damai Trump dan memutuskan hubungan dengan pentadbiran AS selepas beliau membuat keputusan memindahkan Kedutaan AS di Israel ke Baitulmuqaddis dan mengisytiharkan kota suci itu sebagai ibu negaranya pada Disember tahun lalu.

Penduduk negara itu melihat bandar tersebut sebagai ibu negara mereka dan konsensus antarabangsa menunjukkan status Baitulmuqaddis mesti dirundingkan antara dua pihak.

“Sekiranya AS tidak mahu melakukan apa-apa, Eropah patut melakukannya,” kata Riyad.

“Kita sepatutnya memberi ke­utamaan kepada perubahan, inilah sebab mengapa kami mahu Eropah memainkan peranan termasuk dalam persidangan damai antarabangsa.

“Bukan tanggungjawab kami untuk membuat penyelesaian dua negara, ini tanggungjawab kamu,” katanya.

“Saya tidak percaya ada antara kamu akan menerima pembentukan satu lagi rejim aparteid pada abad ke-21,” katanya lagi. – AFP