Hari Kekasih semakin popular dalam kalangan belia Pakistan dengan ramai antara mereka mula mengamalkan budaya memberi kad ucapan, coklat dan hadiah untuk kekasih pada hari itu.

Namun, Pakistan masih mengekalkan cara hidup Islam dengan ramai rakyatnya membantah sambutan budaya Barat itu.

Presiden Pakistan, Mamnoon Hussain ketika berucap di hadapan pelajar pada tahun 2016 berkata, sambutan Hari Kekasih tidak dapat diterima di negara berkenaan dan menggesa golongan muda memberi tumpuan penuh kepada pelajaran.

Dalam status di laman Twitter kelmarin, Pihak Berkuasa Kawal Selia Media Elektronik Pakistan (PEMRA) berkata, larangan mahkamah pada tahun lalu masih dikekalkan pada tahun ini dan menggesa pihak media tidak mempromosikan sambutan Hari Kekasih.

Sejumlah pengguna laman sosial menyindir agensi itu, manakala sebahagian lagi memuji PEMRA dan menganggap sambutan Hari Kekasih sebagai lucah dan tidak senonoh. – AFP