Pakistan menyatakan tenteranya turut membunuh enam askar India. Bagaimanapun, India menolak kenyataan itu de­ngan mendakwa ‘ia palsu’, lapor akhbar Press Trust of India (PTI).

“India menembak mati tiga orang awam termasuk kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun di sekitar Tatta Pani berhampiran garisan kawalan sempadan,” kata jurucakap tentera, Mejar Jeneral Asif Ghafoor di Twitter kelmarin.

“Tentera Pakistan menyasarkan pos-pos kawalan India, membunuh enam askar India termasuk seorang pegawai dan mencederakan ramai lagi,” tambahnya.

PTI memetik sumber pegawai kerajaan sebagai berkata, seorang askar India terbunuh dan empat lagi cedera semasa tentera Pakistan melepaskan tembakan ke arah pos kawalan dan perkampungan di garisan kawalan sempadan di daerah Poonch kelmarin.

Pertempuran terbaharu itu berlaku sehari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bercakap dengan perdana menteri India dan Pakistan serta menggesa kedua-dua pemimpin mengurangkan ketegangan di wilayah Himalaya itu.

Situasi tegang semakin memuncak selepas New Delhi membatalkan Artikel 370 Perlembagaan India yang memperuntukkan status khas autonomi ke atas Kashmir.

Ia memisahkan negeri Jammu dan Kashmir kepada dua bahagian dan menurunkan status kepada wilayah kesatuan, mencetuskan ketegangan dengan Pakistan. – AFP