Berikutan kejadian, kerajaan mengisytiharkan berkabung di seluruh negara, manakala parti-parti politik menangguhkan aktiviti berkempen selama tiga hari menjelang pilihan raya pada 25 Julai ini.

Serangan paling dahsyat itu berlaku ketika ahli politik giat berkempen sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan orang ramai.

Letupan itu berlaku di bandar Mastung berhampiran Quetta di wilayah Balochistan beberapa jam selepas satu serangan bom lain yang turut menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh pada acara kempen pilihan raya di Bannu.

“Angka kematian meningkat kepada 128 orang,” kata Menteri Kesihatan Balochistan, Faiz Kakar kepada AFP sambil menambah lebih 150 orang turut tercedera.

Pegawai kanan di wilayah itu, Saeed Jameli berkata, pengebom berkenaan meletupkan dirinya di tengah-tengah orang ramai ketika satu pertemuan politik sedang diadakan.

Seorang pegawai kanan lain, Qaim Lashari turut mengesahkan bahawa ia merupakan serangan bunuh diri.

Serangan letupan itu turut mengorbankan Siraj Raisani yang bertanding kerusi wilayah daripada Parti Awami Balochistan (BAP) yang baru sahaja dibentuk.

“Siraj Raisani mati akibat ce­dera parah ketika beliau dipindahkan ke hospital di sini,” kata Menteri Dalam Negeri Wilayah, Agha Umar Bungalzai.

Letupan itu berlaku beberapa jam selepas empat orang terbunuh, manakala 39 cedera apabila sebutir bom disembunyikan ke dalam sebuah motosikal yang meletup berhampiran satu konvoi ahli politik di Bannu berhampiran sempadan Afghanistan kelmarin.

Malah letupan tersebut berlaku ketika bekas Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif tiba dari London bagi menjalani hukuman penjara 10 tahun dan ditangkap sebaik tiba di lapangan terbang malam.

Sementara itu, militan Daesh dalam satu kenyataan me­ngaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut. – AFP