Gempa dengan kekuatan 7.5 magnitud dan disusuli dengan kejadian tsunami itu memusnahkan seluruh Palu pada 28 September lalu.

Lebih 2,000 mayat telah dijumpai sejak bencana berganda di Pulau Sulawesi itu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa khuatir lebih 5,000 orang yang hilang itu telah tertimbus di bawah bandar yang musnah, malah sebilangan kampung seolah-olah ditelan bumi.

Para penyelamat telah berusaha untuk mencari mayat di sebalik runtuhan bangunan, suatu tugas yang menjadi lebih sukar kerana lumpur kini semakin mengeras dan mayat lebih cepat mereput dalam cuaca tropika.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mangsa akan berakhir pada petang ini (semalam),” kata Pengarah Lapangan SAR di Palu, Bambang Suryo, kepada agensi berita AFP.

Kerajaan sebelum ini menjelaskan bahawa kawasan-kawasan yang terjejas t­eruk itu akan dibiarkan tidak berusik dan dianggap sebagai kubur besar.

Pembinaan taman-taman dan monumen-monumen juga telah dirancang di tiga kawasan paling teruk tersebut iaitu Balaroa, Petobo dan Jono Oge bagi memperingati ribuan mayat yang tidak dijumpai.

Kawasan tersebut semuanya dimusnahkan oleh tanah yang ‘mencair’, iaitu suatu fenomena apabila tekanan kuat akibat gempa menyebabkan tanah bertukar menjadi pasir jerlus.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberitahu bahawa 200,000 penduduk kini sangat memerlukan bantuan kemanusiaan di Palu, dengan bekalan air bersih dan perubatan masih berkurangan.

Kira-kira 80,000 orang pula telah dipindahkan ekoran bencana tersebut, manakala ramai juga yang tinggal di dalam khemah di luar rumah mereka yang telah musnah. – AFP