Lebih satu perempat senator daripada Parti Republikan tidak menyatakan sokongan kepada Presiden AS, Donald Trump berhubung cadangan sekatan dan pengusiran imigran yang juga dikenali sebagai Dreamers.

Senat menolak usul Trump dengan undian 60-39.

Selain itu, rancangan sekumpulan senator dwipartisan yang berkompromi untuk melindungi imigran muda dan membiayai tuntutan pembinaan tembok oleh Trump di sempadan Mexico turut ditolak menerusi undian 54-45.

Seramai lapan wakil daripada Parti Republikan bersama sebahagian besar wakil Demokrat menyokong usul itu tetapi gagal selepas White House mengugut menggunakan kuasa veto.

Hasil undian menunjukkan bahawa mungkin tiada penyelesaian tetap dalam masa terdekat untuk membantu golongan Dreamers.

Undian Senat menyebabkan imigran muda bakal diusir selepas tarikh tamat 5 Mac ini. Sebelum ini, Trump memberikan Kongres tempoh ber­kenaan untuk mengembalikan program Tindakan Tertangguh Ketibaan Kanak-Kanak (DACA) yang beliau mansuhkan tahun lalu.

Mahkamah Persekutuan mengenakan sekatan sementara terhadap Trump daripada membubarkan inisiatif era pentadbiran bekas Presiden AS, Barack Obama. Bagaimanapun, tanpa kelulusan Kongres, kumpulan imigran berdepan risiko pengusiran selepas tamat tempoh perlindungan.

Dreamers ialah imigran yang dibawa masuk ke AS sebagai kanak-kanak dan kini mereka berdepan risiko diusir disebabkan ketiadaan kebenaran tetap untuk kekal. DACA memberi mereka kebenaran untuk tinggal dan bekerja di AS untuk tempoh dua tahun dan boleh diperbaharui,” kata Senator Lindsey Graham daripada Parti Republikan.

Selepas Senat menolak kesemua empat usul itu, Pemimpin Majoriti Senat, Mitch McConnell menyalahkan Demokrat kerana gagal menerima tawaran ‘baik’ Trump.

“Mereka membelakangkan satu peluang keemasan untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

Trump menawarkan peluang kerakyatan untuk 1.8 juta imigran muda yang menepati permintaan Demokrat. Bagaimanapun rancangan itu turut melibatkan bajet AS$25 bilion (RM97 bilion) untuk membina tembok sempadan dengan Me­xico. – AP