“Tiga, dua, satu dan berlepas,” kata pengulas NASA, Mike Curie ketika Satelit Peninjau Transit Exoplanet (TESS) dilancarkan di atas roket Falcon SpaceX dari Cape Canaveral, Florida pada pukul 6.51 petang kelmarin.

Pesawat angkasa bersaiz sebuah mesin basuh itu dibina untuk mencari planet baharu di luar sistem solar, mengimbas langit dan mencari bintang pa­ling terang bagi tanda-tanda peredupan berkala.

TESS dijangka menemui 20,000 planet di luar sistem solar termasuk lebih daripada 50 planet bersaiz Bumi dan mencecah 500 planet lebih kecil berbanding Bumi, kata NASA.

Penemuan itu akan dikaji lebih lanjut oleh teleskop yang berpangkalan di Bumi dan ruang angkasa untuk melihat sebarang tanda boleh didiami termasuk medan berbatu, saiz seperti Bumi dan jarak dari matahari yang membolehkan suhu bagi kewujudan air.

“Kisah mengenai planet-planet ini akan berterusan, lama selepas pengesanannya,” kata Martin Still, saintis program TESS.

“Pelancaran misi ini sangat menakjubkan. Ia sangat beremosi,” kata penyelidik TESS, Natalia Guerero di Institut Teknologi Massachussetts dalam satu temu bual bersama NASA TV selepas pelancaran tersebut.

Guerero merupakan sebahagian daripada pasukan yang membina empat kamera yang berfungsi sebagai mata pesawat angkasa itu.

TESS mempunyai teknologi yang jauh lebih canggih berbanding Teleskop Angkasa Kepler milik NASA yang dilancarkan pada tahun 2009.

TESS akan menghabiskan masa selama dua bulan untuk melakukan perjalanan ke orbit yang betul. Data saintifik pertamanya dijangka diperoleh pada bulan Julai. – AFP