Pada awal pagi ini, Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Manila (MIAA) yang mengendalikan Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP) telah mengeluarkan kenyataan bersama.

Agensi berita China Xinhua melaporkan kenyataan pihak berkuasa menyebut bahawa pesawat jenis Boeing 737-800 itu telah terlibat dalam insiden "terkeluar dari landasan" tersebut pukul 11.55 malam waktu tempatan pada Khamis ketika mendarat.

Dalam kes membabitkan penerbangan MF8667 dari syarikat Xiamen Airlines, pihak berkuasa berkata, ia terkeluar dari landasan dan terbabas ke kawasan berumput di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila selepas "satu pendekatan yang terlepas" susulan "hujan lebat."

Pihak berkuasa mengesahkan bahawa semua penumpang dan kru pesawat Xiamen Airlines selamat.

Dalam sidang akhbar pada pagi tadi, MIAA dan CAAP berkata, semua penumpang dan kru telah ditempatkan di sebuah hotel.

Pengurus Besar MIAA, Ed Monreal berkata, terdapat keperluan untuk membersihkan landasan itu daripada serpihan enjin dan gear pendaratan pesawat terbabit yang rosak.

Jurucakap CAAP, Eric Apolonio berkata, landasan yang terjejas akan ditutup buat sementara waktu sehingga pukul 4 petang hari ini. 

Sejumlah 12 penerbangan telah dibatalkan pada pagi ini susulan insiden itu.

Beliau berkata, pesawat itu masih berada di kawasan berumput berhampiran landasan utama Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino dan akan kekal di situ sehingga siasatan selesai. - Bernama