Kira-kira 700,000 etnik Rohingya telah menyeberangi sempadan ke Bangladesh sejak keganasan tercetus pada Ogos 2017, membawa bersama cerita pembunuhan, rogol dan membakar kediaman yang dilakukan askar serta penduduk beragama Buddha.

Walaupun sebahagian besar pelarian Rohingya meninggalkan Myanmar pada tahun lalu, ratusan etnik itu masih lagi melintasi sempadan setiap minggu.

“Penghapusan etnik Rohingya oleh Myanmar berterusan. Saya tidak fikir kami dapat membuat rumusan lain berdasarkan apa yang saya lihat dan dengar di kem pelarian Cox’s Bazar,” kata Penolong Setiausaha Agung Hak Asasi Manusia PBB, Andrew Gilmour selepas bercakap dengan pelarian Rohingya yang baru tiba di Bangladesh.

“Taktik keganasan berubah daripada pembunuhan dan rogol beramai-ramai tahun lalu kepada menyemai ketakutan serta memaksa kebuluran berlaku bagi mengusir saki-baki etnik Rohingya,” katanya dalam satu kenyataan.

Gilmour juga berkata, beliau tidak percaya pelarian Rohingya boleh kembali dalam masa terdekat walaupun Myanmar berjanji akan menerima sebahagian daripada mereka.

“Kerajaan Myanmar sibuk memberitahu dunia bahawa ia bersedia menerima kepulangan pelarian Rohingya tetapi pada masa yang sama, tenteranya berterusan memaksa mereka melarikan diri ke Bangladesh,” kata Gilmour.

“Kepulangan yang selamat, bermaruah dan mapan tidak mungkin berlaku dalam situasi sekarang,” tambahnya.

PBB, kumpulan hak asasi dan banyak negara Barat menuduh tentera Myanmar menjadikan operasi menghapuskan pemberontak sebagai helah untuk mengusir etnik minoriti Rohingya yang berdepan diskriminasi kejam selama beberapa dekad.

Pertubuhan amal, Doktor Tanpa Sempadan (MSF) pula menganggarkan sekurang-kurangnya 6,700 etnik Rohingya dibunuh pada bulan pertama tentera Myanmar melancarkan operasinya pada Ogos 2017. – AFP