Tentera Myanmar dituduh me­lancarkan kempen pembersihan terhadap etnik Rohingya hingga menyebabkan hampir 700,000 daripada mereka melarikan diri ke Bangladesh sejak Ogos lalu.

Myanmar menafikan tuduhan tersebut dengan mengatakan mereka melancarkan serangan untuk menghapuskan pemberontak Rohingya namun tidak membenarkan wartawan dan penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memasuki zon konflik itu secara bebas.

Semalam, media kerajaan melaporkan pihak berkuasa Negeri Rakhine menafikan siasatan agensi berita Associated Press (AP) mengenai pengakuan pelarian Rohingya dan rakaman video telefon bimbit yang membongkar kewujudan lima kubur besar yang sebelum ini tidak dilaporkan di kampung Gu Dar Pyin.

Selepas satu siasatan di kampung tersebut, sekumpulan pegawai, polis dan penduduk tempatan ‘menafikan laporan AP’, kata agensi berita yang dikuasai kerajaan, Global New Light of Myanmar.

“Penduduk kampung sekali lagi menyatakan mereka tidak pernah mendengar pembunuhan beramai-ramai berhampiran kampung mereka,” tambahnya.

Bagaimanapun, pihak berkuasa mengatakan berlaku pertempuran sengit yang membawa maut antara pasukan keselamatan dan militan Rohingya di kampung tersebut pada 28 Ogos, beberapa hari selepas tindakan ketenteraan yang keras dilancarkan.

Seramai 19 ‘pengganas’ dibunuh secara kejam dan ditanam, menurut laporan yang tidak menjelaskan di mana lokasi kubur-kubur tersebut.

Jurucakap kerajaan Myanmar tidak dapat dihubungi bagi memberi penjelasan.

Myanmar menafikan sekeras-kerasnya sebarang salah laku kekejaman di Rakhine walaupun ba­nyak kenyataan daripada pelarian menyatakan pasukan keselamatan membunuh orang awam, merogol beramai-ramai dan membakar kampung-kampung etnik Rohingya. – AFP