Ibu mangsa, Jimmy Russel berkata, dia sedang menyiapkan makan malam apabila mendengar jeritan anak lelakinya yang berumur 15 tahun itu ketika mangsa bermain di luar rumah.

“Pada mulanya, saya ingat ia jeritan biasa tetapi kemudian, dia masuk ke dalam rumah dengan darah mengalir dan kepingan besi tertusuk pada mukanya. Saya sungguh terkejut,” kata Jimmy baru-baru ini.

“Saya ingatkan benda itu batang besi tetapi ia kelihatan seperti pemegang pisau dan pada ketika itu, perkara pertama terlintas dalam fikiran saya adalah untuk menghubungi talian kecemasan,” tambahnya.

Remaja itu dikejarkan ke Hospital Kanak-Kanak Mercy Kansas tetapi doktor-doktor mengesan potensi kerosakan pada salur darah utama ke otak mangsa yang boleh mengakibatkan strok atau kecederaan serius lain, lalu memutuskan untuk memindahkan pesakit ke Hospital Universiti Kansas.

“Jika pisau itu tertusuk sedikit lagi, remaja tersebut akan hilang nyawanya,” kata Dr. Koji Ebersole dari Hospital Universiti Kansas.

Menurutnya, pisau itu menekan salur darah tersebut tetapi tidak melukainya.

Eli beransur sembuh dalam tempoh kurang 24 jam selepas dia menjalani pembedahan rumit untuk mengeluarkan pisau tersebut.

Remaja itu yang diberikan ubat antibiotik berkata, dia akan menjauhkan diri dari objek tajam selepas insiden tersebut. – Agensi