“Kami cuba menggali jalan keluar kerana kami fikir kami tidak boleh hanya menunggu pihak berkuasa menyelamatkan kami,” kata jurulatih berkenaan, Ekkapol Chantawong dalam satu sidang akhbar semalam ketika pasukan bola sepak tersebut, Mu Pa (Babi Hutan) membuat kemunculan pertama di khalayak selepas diselamatkan.

Salah seorang budak lelaki itu berkata, mereka minum air yang jatuh dari batu di Gua Tham Luang, wilayah Chiang Rai, utara Thailand itu sebelum ditemui oleh dua penyelam Britain, sembilan hari selepas masuk ke gua tersebut pada 23 Jun lepas.

Ahli-ahli pasukan bola sepak Mu Pa itu kelihatan sihat dan gembira ketika menjawab soalan mengenai masa sembilan hari mereka terperangkap di dalam gua yang gelap tersebut sebelum ditemui.

Orang ramai menyambut kumpulan budak lelaki itu selepas mereka dibenarkan keluar dari sebuah hospital di Chiang Rai dan menonton budak-budak tersebut bermain bola sepak di sebuah tempat lapang sebelum sidang akhbar bermula.

“Ia satu keajaiban,” kata seorang budak lelaki itu, Adul Sam-on, 14, berhubung kejayaan operasi menyelamatkan mereka.

Menurutnya, sepanjang tempoh sembilan hari itu, mereka hanya minum air hujan dan tiada makanan sehinggalah ditemui oleh pasukan penyelam.

Bagaimanapun, pasukan doktor yang merawat mereka menyatakan bahawa semua 13 orang itu berada dalam keadaan sihat secara fizikal dan mental selepas dirawat di hospital.

Doktor-doktor tersebut turut menasihati keluarga mangsa yang berusia antara 11 hingga 16 tahun itu supaya anak-anak mereka tidak berhubung dengan pemberita selama sebulan. – AFP