Asap tebal naik ke udara selepas dua letupan berlaku berhampiran Direktorat Kewangan Jalalabad, kata jurucakap gabenor wilayah Nangarhar, Attaullah Khogyani kepada agensi berita AFP sambil menambah, sejumlah penyerang memasuki bangunan itu.

“Pasukan keselamatan di kawasan tersebut sedang bertempur dan mengusir mereka,” katanya. Menurut Attaullah, seorang penyerang maut, manakala operasi pembersihan diteruskan.

“Sekitar tengah hari (semalam), satu letupan kuat menggegarkan bangunan kami,” kata seorang saksi kejadian yang dikenali sebagai Qaisar kepada AFP dari sebuah hospital di Jalalabad.

“Saya melihat sekurang-kurangnya dua penyerang bersenjata memasuki bangunan kami. Kawan-kawan saya lari untuk bersembunyi dan saya pula melompat keluar dari sebuah tingkap.

“Kaki dan tangan saya patah tetapi saya berjaya keluar dari bangunan itu,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, mayat seorang anggota polis dan lapan orang awam bersama 36 mangsa yang cedera dibawa ke beberapa buah hospital di Jalalabad, kata pengarah kesihatan bandar itu, Dr. Najibullah Kamawal.

Setakat ini, belum ada pihak me­ngaku bertanggungjawab melancarkan serangan tersebut.

Jalalabad merupakan ibu negeri wilayah Nangarhar yang bersempadan dengan Pakistan. Sebahagian kawasan di Nangarhar menjadi kubu kuat kumpulan militan Daesh, namun pejuang-pejuang Taliban turut aktif di wilayah berkenaan.

Serangan semalam merupakan keganasan terburuk yang melanda Afghanistan ketika kumpulan-kumpulan militan meningkatkan serangan mereka di negara bergolak itu. – AFP