Kejadian itu menyaksikan seorang pengebom meletupkan dirinya di sebuah kafe Starbucks di sini yang menyebabkan empat orang terbunuh.

Aman, 46, dikawal ketat pihak polis bersenjata pada sesi pende­ngaran kesnya di sebuah mahkamah di sini.

Rangkaian pengganas antarabangsa itu mengakui bertanggungjawab mendalangi serangan pertama di Asia Tenggara.

“Pihak defendan terbukti telah melakukan tindakan pengganas. Dia dijatuhi hukuman sampai mati,” kata Hakim Akhmad Jaini.

Aman yang duduk di atas kerusi defendan di tengah-tengah bilik mahkamah kelihatan bosan dan cuma menunjukkan reaksi apabila beberapa pengawal dilengkapi me­singan berdiri berhampirannya.

Dia juga kelihatan bertindak mencium lantai sebaik mendengar keputusan hakim.

Peguamnya, Asludin Hatjani menyifatkan keputusan itu sebagai tidak adil memandangkan kekura­ngan bukti untuk mengaitkan Aman terlibat dalam serangan maut.

Aman dianggap sebagai ketua penyokong militan Daesh di Indonesia dan dia juga sebagai pemimpin agama rangkaian militan tempatan, Jamaah Ansharut Daulah (JAD).

Pihak berkuasa berkata, militan JAD terlibat dalam serangan di Jakarta pada tahun 2016 selain beberapa siri pengebom bunuh diri baru-baru ini di bandar raya kedua terbesar di Indonesia, Surabaya.

Dua keluarga termasuk seorang kanak-kanak berusia sembilan dan 12 tahun bertindak meletupkan diri di beberapa gereja dan balai polis di Surabaya menyebabkan 13 orang terbunuh pada bulan lalu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mendakwa Aman susulan serangan itu memandangkan ketika itu dia telah dipenjara atas satu dakwaan serangan pengganas berasingan. – AFP

AMAN berserban hitam dikelilingi pasukan keselamatan bersenjata di bilik mahkamah di Jakarta, Indonesia semalam.