Kumpulan lelaki bersenjata telah mengumpulkan kekuatan kira-kira 200 anggota dan telah terlibat dalam beberapa siri pertempuran dengan pasukan keselamatan tahun ini selepas tentera kerajaan menawan semula Marawi pada Oktober lalu, kata Kolonel Romeo Brawner kepada AFP.

“Mereka tidak berputus asa dengan objektif untuk membina negara khalifah di Asia Tenggara,” kata Braw­ner yang merupakan komander pasukan tentera berpangkalan di Marawi.

“Mindanao merupakan tanah paling subur,” katanya merujuk kepada wilayah selatan negara itu.

Dibelenggu dengan ke­miskinan dan pembe­rontakan tentera Islam bersenjata yang mencari kemerdekaan atau peme­rintahan sendiri, Mindanao perlu meningkatkan pengawasan terhadap sekolah-sekolah Islam atau madrasah yang menjadi sasaran lelaki muda direkrut sebagai militan, tambahnya.

Menurut Brawner, pasu­kan bersenjata itu sedang berusaha memenuhi cabaran kumpulan Maute yang menduduki Marawi selama lima bulan dan berjanji taat setia kepada kumpulan militan Daesh yang berpusat di Asia Barat.

Mereka yang terselamat ketika operasi awal yang disokong Amerika Syarikat (AS) untuk menawan se­mula Marawi kini mengetuai usaha merekrut anggota, me­ngumpul wang tunai, senjata api dan barang kemas yang diambil di bank-bank dan rumah persendirian, kata Brawner.

Anggota yang direkrut kebanyakannya penduduk tempatan tetapi terdapat sejumlah terdiri daripada warga Indonesia dengan sesetengahnya mempunyai kemahiran membuat bom telah tiba di sana. – AFP