Sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-37 semalam, Markle tidak menyambutnya de­ngan meriah sebaliknya menemani Putera Harry menghadiri majlis perkahwinan kawan baiknya, Charlie van Straubenzee di Churt, Surrey, Britain.

Bagaimanapun, portal berita MailOnline berkongsi 37 perkara mengenai Meghan yang ramai tidak tahu antaranya kelaziman aktres drama siri Suits itu untuk memakan kentang goreng dan segelas wain pada hari jadinya setiap tahun kerana sewaktu kanak-kanak, beliau kerap menghabiskan masa di kantin studio televisyen Los Angeles bagi mene­mani bapanya, Thomas yang bekerja sebagai pe­ngarah penataan cahaya.

Meghan juga pernah belajar di tadika Little Red School House, New York, AS bersama aktres ter­kenal, Scarlett Johansson dari usia dua hingga 11 tahun.

Selain itu, Duchess of Sussex itu juga fasih bertutur bahasa Sepanyol selepas menjalani latihan industri di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Buenos Aires, Argentina pada tahun 2002 dan mempelajari bahasa tersebut di Madrid, Sepanyol pada tahun yang sama.

Mempunyai tabiat suka menggigit kuku sehingga tahun lepas, Meghan juga seorang yang mengamalkan diet ketat dan hanya makan sayur-sayuran setiap hari kecuali hujung minggu. – Agensi