Anak dugong yang diberi nama Mariam itu ditemui di perairan cetek barat daya Thailand beberapa bulan lalu menjadi popular di internet selepas tersiarnya gambar menunjukkan sifat manja haiwan tersebut ketika bersama dengan kumpulan penyelam penyelamat.

Sebelum Mariam, se­ekor lagi anak dugong ditemui dan diberi nama Jamil oleh Puteri Thailand, Puteri Sirivannavari Nariratana Rajakanya.

Mariam mati lewat malam semalam selepas mengalami kejutan dan usaha untuk menyelamatkannya gagal, kata ketua Taman Marin Wilayah Trang, Chaiyapruk Werawong kepada agensi berita AFP.

"Ia mati akibat jangkitan dalam darah dan nanah dalam perut,” katanya sambil menambah mereka turut menjumpai sisa cebisan plastik dalam saluran usus Mariam.

Mariam dan Jamil ditemui di selatan Thailand yang merupakan habitat kepada lebih 250 dugong.

Kematian Mariam diumumkan di Facebook Jabatan Sumber Marin dan Perairan. Paparan itu dikongsi lebih 11,000 kali oleh pengguna internet.