Bezos sewaktu sesi soal jawab ketika majlis makan malam anjuran Kelab Ekonomi Washington menegaskan bahawa serangan Trump berisiko menjejaskan perlindungan dan norma sosial yang penting dalam sistem demokrasi.

“Adalah berbahaya untuk memburuk-burukkan media,” kata Bezos.

“Adalah berbahaya untuk menggelar media penjenayah. Ia berbahaya untuk mengatakan bahawa media ialah musuh rakyat,” kata Bezos.

“Kita hidup dalam masyarakat yang mana bukan sahaja undang-undang melindungi kita tetapi juga norma sosial. Ia berfungsi kerana kita percaya perkataan yang terkandung dalam akhbar,” tambahnya.

Bezos berkata, Trump dan orang kenamaan lain seharusnya menerima kritikan dan pandangan media serta orang awam yang mana beliau anggap sebagai perkara yang ‘sihat’.

Komen itu adalah yang pertama ditujukan kepada Trump oleh Bezos selepas beliau kerap menjadi sasaran kecaman Trump

“Saya memang mempertahankan Washington Post. Namun, tiada keperluan untuk saya mempertahankan Amazon,” katanya.”

Menurutnya, pentadbiran Trump mungkin mengisytiharkan perang terhadap media tetapi media tidak berperang dengan White House.

Di sebalik kebimbangannya terhadap Trump, Bezos memberitahu, beliau tidak terlalu gusar mengenai masa depan media berita.

“Kami begitu kuat dalam negara ini. Media akan selamat,” katanya.

Bezos yang mengumpulkan kekayaannya menerusi Amazon menambah, beliau pernah berbincang dengan Trump tetapi enggan mendedahkan perkara yang dibincangkan. – AFP