Pesawat pengebom tentera udara China termasuk jet berkeupayaan nuklear, H-6K mendarat dan berlepas dari beberapa buah pulau dan terumbu di Laut China Selatan sebagai sebahagian daripada latihan tentera pada minggu lalu, mencetuskan kemarahan wakil-wakil rakyat di Manila.

Amerika Syarikat turut menghantar beberapa kapal perang ke zon tuntutan bertindih itu.

Filipina tidak dapat mengesahkan secara bebas tentang kehadiran pesawat-pesawat pengebom China di Laut China Selatan, kata jurucakap Presiden itu, Harry Roque.

“Bagaimanapun, kami mengambil makluman mengenai laporan kehadirannya dan menyuarakan kebimbangan serius tentang impak tindakan tersebut kepada usaha untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau ini,” Roque memberitahu taklimat media rutin di Istana Presiden.

Dalam perkembangan sama, Jabatan Hal Ehwal Luar Fi­lipina menyatakan, pihaknya sedang memantau perkembangan tersebut.

“Kami sedang mengambil tindakan diplomatik yang bersesuaian untuk melindungi tuntutan kami dan akan terus berbuat demikian di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun, jabatan berkenaan enggan mengecam tindakan China itu yang disifatkan Washington sebagai berisiko meningkatkan ketegangan dan menjejaskan kestabilan serantau.

China menuntut hampir ke­seluruhan Laut China Selatan, zon maritim strategik yang menjadi laluan kargo bernilai sekitar AS$3 bilion (RM11.9 bilion) setahun. Malaysia, Brunei, Filipina, Taiwan dan Vietnam juga membuat tuntutan di laut itu.

Beijing membina beberapa buah pulau di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan dan menukarnya menjadi pos tentera yang dilengkapi landasan pesawat, radar serta sistem pertahanan peluru berpandu.

China menyatakan bahawa kemudahan tenteranya di Kepulauan Spratly adalah untuk tujuan pertahanan semata-mata dan Beijing berhak melakukan apa sahaja di wilayahnya sendiri. – Reuters