Pasukan perubatan turut menawarkan sokongan psikologi selepas itu dan menasihatkan kumpulan tersebut mengelakkan diri daripada ditemu bual media walaupun kisah mereka dianggap luar biasa kerana mampu bertahan lebih 10 hari tanpa bekalan makanan.

Anggota pasukan bola sepak Wild Boars atau Babi Hutan itu memasuki gua Tham Luang di utara Thailand bagi meraikan ulang tahun kelahiran salah seorang ahlinya pada 23 Jun lalu tetapi malangnya mereka terpe­rangkap di dalam gua yang ditenggelami banjir.

“Kesemua mereka dalam keadaan fizikal yang baik dan kelihatan bersemangat. Mereka akan dibenarkan keluar bersama-sama pada Khamis ini,” kata Menteri Kesihatan Awam, Piyasakol Sakolsattayatorn kepada wartawan semalam.

Kanak-kanak dan ibu bapa mereka dinasihatkan supaya meluangkan masa bersama rakan dan keluarga selain mengelakkan daripada ditemu bual dengan media kerana boleh mencetuskan gangguan tekanan selepas trauma.

Mereka terperangkap di dalam gua itu sejak 23 Jun, namun akhirnya berjaya dikeluarkan pada 10 Julai lalu dalam satu misi menyelamat yang telah mencatatkan sejarah baharu dunia.

Misi yang dianggap mustahil itu melibatkan sejumlah pakar penyelam gua antarabangsa dan tempatan. Kebanyakan mereka menyuarakan kegembiraan dan terkejut apabila misi itu berjaya dilaksanakan. – AFP