Akhbar Daily Mail kelmarin melaporkan wanita bernama Lovely Acosta Baruelo, 26, bekerja dengan sebuah keluarga kaya di Riyadh, Arab Saudi sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, Baruelo dikatakan menimbulkan kemarahan majikannya selepas meninggalkan sebuah perabot berharga mahal di bawah cahaya matahari yang terik di luar rumah.

Majikannya mengikat mangsa pada pokok di laman rumah tersebut sebagai hukuman kerana mendakwa perabot itu boleh pudar warna di bawah cahaya matahari.

Seorang pekerja lain yang juga rakan senegara Baruelo merakam kekejaman tersebut menggunakan telefon bimbit. Kejadian berlaku pada 9 Mei lalu.

Jabatan Hal Ehwal Asing Filipina (DFA) dimaklumkan mengenai kejadian tersebut dan ibu kepada dua anak itu dihantar pulang ke negara asal pada hari sama kejadian berlaku.

“DFA melaporkan Baruelo dari Arab Saudi selamat tiba di Manila pada pukul 8.55 malam, 9 Mei 2019,” kata jurucakap jabatan itu.

Baruelo yang kini berada bersama keluarga di La Union, Filipina berterima kasih kepada semua pihak yang membantunya.

Pada masa sama dia menyuarakan kebimbangan terhadap rakan-rakan senegara yang masih bekerja dengan bekas majikannya di Arab Saudi. – Agensi