Beliau bagaimanapun me­negaskan bahawa tiada apa yang boleh menghentikan pembaharuan dasar ekonomi yang mahu dilakukannya.

Protes yang dianjurkan oleh 60 kesatuan, parti-parti politik dan persatuan itu menolak polisi baharu Macron yang didakwa memihak kepada golongan kaya.

Bagaimanapun, jumlah peserta yang turun di jalanan lebih rendah berbanding perhimpunan yang sama sebelum ini. Menteri Dalam Negeri, Gerard Collomb berkata, jumlah tersebut agak sedikit.

Kementerian menganggarkan kira-kira 93,000 peserta terlibat dalam demonstrasi yang diadakan di 142 lokasi seluruh negara, manakala kesatuan berhaluan kiri, CGT meletakkan angka 250,000.

Di Paris, polis melaporkan hanya terdapat 21,000 penunjuk perasaan, manakala CGT mendakwa 80,000. Dalam pada itu, kumpulan pemantau bebas yang bekerja untuk agensi media termasuk AFP berkata, sekitar 31,700 penunjuk perasaan berada di ibu negara.

Macron ketika lawatan ke Rusia pada Jumaat lalu berkata, bantahan tidak akan menghentikan kemajuan yang mahu dilakukannya.

“Saya tidak akan terpengaruh dengan demonstrasi itu kerana kami telah melakukan terlalu banyak perkara (pada masa lalu),” katanya.

Perarakan kelmarin merupakan susulan tindakan pada Selasa lalu apabila pekerja sektor awam daripada tukang cuci jalanan kepada guru menyertai mogok pekerja-pekerja kereta api dalam apa yang disebut serangan terhadap perkhidmatan awam.

Ia merupakan hari ketiga mogok dan demonstrasi oleh pekerja awam sejak Macron memenangi pilihan raya tahun lalu dengan janji untuk mengurangkan perbelanjaan, mengecilkan pekerjaan serta membaik pulih sebahagian besar negara Perancis yang luas.

Seramai 43 orang ditahan di Paris, kebanyakannya pada permulaan lokasi demonstrasi di Place de la Bastille. Polis berkata, sebahagiannya membawa senjata, manakala yang lain me­lakukan perbuatan ganas.

Perancis mempunyai salah satu sektor awam terbesar di Eropah berbanding saiz ekonomi­nya. Negara ini tidak menyeimbangkan belanjawannya sejak tahun 1970-an, yang membawa kepada hutang awam yang setara dengan hampir 100 peratus daripada keluaran dalam negara kasar.

Kesatuan-kesatuan itu menu­duh Macron, bekas jurubank pelaburan, mahu memusnahkan perkhidmatan awam iaitu sumber pekerjaan penting dan tonggak kehidupan masyarakat di banyak negara. – AFP