Karya pelukis Sepanyol pada tahun 1937 yang bertajuk Femme au Beret et a la Robe Quadrillee (Marie-Therese Walter) itu di­jangka dapat dijual pada harga £36 juta sebelum acara lelongan tersebut.

Lukisan itu dijual dalam majlis lelongan impresionis dan seni moden oleh rumah lelongan Sotheby’s.

Ini adalah kali pertama lukisan cat minyak atas kanvas itu muncul di pasaran dan merupakan lelongan utama yang pertama oleh Sotheby’s tahun ini.

Sotheby’s bagaimanapun me­rahsiakan identiti penjual dan pemilik baharu karya tersebut.

“Ini merupakan lukisan kualiti muzium yang sangat penting,” kata Pengarah Jabatan Impresionis dan Seni Moden Sotheby’s, James Mackie kepada agensi berita AFP pada minggu lalu.

Subjek utama lukisan itu, Marie-Therese Walter merupakan kekasih lama dan sumber inspirasi kepada pelukis Sepanyol tersebut.

Namun, kelibat Dora Maar yang menjalin hubungan dengan Picasso pada tahun 1936 turut muncul dalam bayang-bayang Marie-Therese, jelas Mackie.

Sebilangan karya agung lain turut mencatat harga amat tinggi dalam acara lelongan baru-baru ini.

Ia antara lain didorong oleh pembukaan beberapa muzium utama di rantau Teluk dan kuasa belian pengumpul koleksi seni dari negara membangun.

Sementara itu, Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman memiliki lukisan termahal dunia, Salvator Mundi karya Leonardo da Vinci berharga AS$450 juta (RM1.7 bilion) yang dibeli pada November 2017.

– AFP