“Kami mengesahkan bahawa negara-negara Arab akan menyokong bajet negara Palestin dan menentang tekanan politik serta kewangan yang di­hadapinya,” kata Liga Arab dalam satu ke­nyataan kelmarin selepas mengadakan sidang di Kaherah.

Israel mengutip cukai bagi pihak PA tetapi menyekat pemindahan hasil cukai tersebut sebanyak AS$138 juta (RM570.2 juta) pada Februari lalu dengan menuduh kerajaan Palestin membuat bayaran kepada ke­luarga tahanan politik yang dipenjara kerana melancarkan serangan terhadap Rejim Zionis.

Langkah Liga Arab itu dibuat ketika pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bersiap sedia memper­kenalkan apa yang dikenali sebagai Perjanjian Abad Ini bagi mencapai perdamaian antara ke­pimpinan Palestin dan Israel dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Bagaimanapun, ke­pimpinan Palestin menyatakan bahawa pihaknya tidak lagi mempercayai AS sebagai broker keamanan Asia Barat.

Ia susulan beberapa tindakan kontroversi Trump termasuk mengiktiraf kota Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Liga Arab menyatakan bahawa perjanjian tajaan Washington itu ‘tidak akan berjaya mencapai keamanan menyeluruh dan berkekalan di Asia Barat’.

Pelan damai baharu tersebut yang diterajui menantu Trump, Jared Kushner itu turut dicurigai ke­pimpinan Palestin ke­rana beliau mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Rejim Zionis merampas Tebing Barat, Genting Gaza dan Baitulmuqaddis Timur semasa perang Arab-Israel pada tahun 1967. – AFP