Dengan ketinggian 105 sentimeter, baka jenis Hereford katik itu menjadi kebanggaan penternak Malcolm Gough, 66, dan isterinya, Lesley, 54, yang membiakkannya di ladang tersebut sejak 10 tahun lalu.

“Sebab utama kami memilih untuk membiakkan lembu baka ini adalah kerana ladang kami kecil, hanya seluas 16 hektar. Cukup besar untuk membina rumah tetapi agak kecil jika dijadikan ladang ternakan,” jelas Malcolm.

“Saya dan Lesley memang sudah lama idamkan sebuah rumah di pedalaman supaya kami boleh hidup berdekatan haiwan ternakan. Tambahan pula, daerah Rutland adalah yang paling kecil di Britain dan sangat sesuai jika kami membela ternakan kecil,” tambahnya.

Baka Hereford katik tidak wujud secara semula jadi di Britain tetapi Malcolm mula membawa masuk embrio lembu tersebut dari Kanada dan diimplan ke dalam rahim lembu Hereford tempatan yang bersaiz normal sebagai ibu tumpang.

Selepas 10 tahun membiakkan lembu katik tersebut, pasangan petani itu kini sudah mempunyai kawanan dewasa yang boleh membiak secara normal, selain sudah mula dijual kepada penternak lain.

Baka itu sangat popular dalam kalangan pemilik ladang kecil dan juga mereka yang tidak mahu membela lembu besar kerana lebih sukar untuk dijaga.

“Kami sudah menyambut kelahiran hampir 50 ekor anak lembu baka ini dan sudah boleh membantu penternak lain memulakan kawanan lembu Hereford katik sendiri. Baka ini sangat popular di rantau Amerika Utara dan Australasia,” jelas Malcolm. – Agensi