Fungsi pemanduan automatik kereta Tesla berada di peringkat dua dan tiga iaitu separa automasi yang memerlukan pemandu bersedia untuk mengawal kenderaannya pada setiap masa.

Justeru, apabila Shawn Miladinovich melihat kereta elektrik Tesla di sebelahnya di Lebuh Raya 405, California Selatan baru-baru ini, dia terkejut kerana pemandunya sedang nyenyak tidur, kata lelaki tersebut.

“Saya pernah mendengar perkara ini dalam berita, tetapi saya tidak percaya sehingga saya melihatnya sendiri,” kata Miladinovich.

Miladinovich kemudian bertindak menghubungi Peronda Lebuh Raya California (CHP).

Kira-kira 48 kilometer selepas itu ketika dia dalam perjalanan dari San Clemente menuju ke San Pedro, Miladinovich berkata, lelaki tersebut kelihatan masih tidur.

“Saya melihat dia tidur sepenuhnya. Matanya tertutup dan kedua-dua tangan tidak berada pada stereng kereta,” ujarnya.

Tesla menyatakan di laman webnya bahawa Sistem Pemanduan Automatiknya direka untuk membantu pemandu dalam ‘tugas paling membebankan’ dengan membolehkan kereta keluarannya mengemudi, memecut dan membrek secara sendiri di laluan.

Bagaimanapun, syarikat pengeluar kereta itu menambah: “Sistem Pemanduan Automatik semasa masih memerlukan pengawasan aktif pemandu dan tidak menjadikan kenderaan automasi sepenuhnya.”

Sementara itu, CHP berkata, pemandu tersebut boleh disaman sekiranya identitinya dapat dikenal pasti. – Agensi