Sebelum insiden berlaku, Bill Singleton, 68, memberitahu isteri, Lynette bahawa dia mahu keluar rumah untuk memotong kayu api dan pulang semula selepas kerja-kerja itu selesai.

“Sewaktu saya sedang menggergaji batang pokok, gergaji rantai yang digunakan secara tiba-tiba melambung ke arah saya. Saya terdengar suatu bunyi retakan namun, tidak merasa sebarang kesakitan. Selepas itu, darah mengalir keluar dengan banyak.

“Saya cuba menelefon talian kecemasan tetapi tidak berupaya bercakap. Maka saya cuba memberhentikan pendarahan sebelum ke trak pikap untuk memandunya ke hospital berhampiran,” kata Singleton ketika program siaran stesen radio omny.fm, How I Survived.

Gergaji rantai itu membelah bibir bawah, lidah dan rahangnya. Dia memandu trak pikap itu ke hospital sambil memegang wajah sendiri. Doktor menjalankan pembedahan selama beberapa jam untuk menjahit semula wajah Singleton dan memasang plat besi untuk membaik pulih rahangnya.

Kejadian itu menyebabkan dia kehilangan gigi, lidah jadi kebas dan mengambil masa selama beberapa minggu untuk belajar bertutur semula. Dia masih perlu menjalani dua lagi pembedahan untuk menguatkan rahang semula. – Agensi