Jayesh Patel, 32, menggunakan kerusi roda ketika ditahan di Lapangan Terbang New Delhi, Ahad lalu. Dia menggunakan pasport palsu tertera nama Amrik Singh bersama tarikh lahir 1 Februari 1938.

Jayesh menyamar dengan mewarnakan janggutnya dengan warna putih, menggunakan kerusi roda dan memakai kaca mata serta serban.

Menurut media tempatan, anggota-anggota pasukan keselamatan curiga terhadap Patel apabila dia enggan menjalani pemeriksaan badan dengan alasan ‘terlalu tua’ untuk berdiri.

Pegawai polis, Rajveer Singh berkata, Patel enggan memandang anggota-anggotanya sepanjang pertemuan tersebut.

“Rupa dan tekstur kulit penumpang itu kelihatan lebih muda daripada apa yang dinyatakan dalam pasport,” kata polis.

Menurut saluran berita NDTV, Patel telah mengupah seorang ejen untuk mendapatkan pasport palsu dan bersetuju membayar ejen berkenaan sebanyak AS$41,752 (RM174,435) selepas dia tiba di AS.

Lelaki itu merancang untuk mencari kerja di negara maju tersebut.

Dia yang mengaku nama sebenarnya dan berasal dari bandar Ahmedabad, Gujarat kini ditahan untuk siasatan lanjut. – Agensi